KUALA LUMPUR 15 Ogos – Suri rumah, Khadijah Mohd Noor Kamal berjaya merangkul gelaran juara program pertandingan masakan Versus 1001 Rasa Baba’s musim kedua yang ditayangkan di TV3.
Kemenangan tersebut membolehkan Khadijah, 39, membawa pulang RM10,000, ketuhar gelombang mikro Fargo dan tiket penerbangan ke Melbourne, Australia tajaan AirAsia.
Khadijah menewaskan tiga finalis lain iaitu Cef Budiman Bistari yang mendapat tempat kedua dan Nazura Zainal Abidin serta Muhammad Izwan Ramli yang berkongsi tempat ketiga.
Budiman membawa pulang RM3,000 beserta tiket penerbangan ke Hong Kong. Sementara Nazura dan Izwan masing-masing menerima RM500 serta tiket penerbangan ke Jakarta, Indonesia.
Khadijah meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut apatah lagi itu kali pertama dia menyertai pertandingan masakan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan teruja atas kemenangan ini. Sejujurnya, saya tidak menjangka sama sekali boleh menang kerana antara finalis adalah cef berpengalaman.
“Saya memang tiada pengalaman dalam pertandingan kerana saya cuma memasak di rumah untuk keluarga sahaja sebelum ini. Malah, mereka juga tidak menjangka saya boleh menyertai pertandingan ini,” katanya yang ditemui dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada peringkat akhir program itu, Khadijah menyediakan tiga menu iaitu Kari Ikan Baba’s dan Tepung Kacang Hijau Baba’s menerusi cabaran Black Box dan Nasi Minyak Beraroma untuk cabaran Inflight Menu.
Hadiah disampaikan Ketua Operasi Baba’s Malaysia Sdn Bhd, K Siva Subramaniam.
Program yang menampilkan pengacara Chef Kamarul dan Chef Adu itu bersiaran sebanyak 13 episod bermula pada 22 Mac hingga 19 Julai. – UTUSAN ONLINE.











