KUALA LUMPUR 13 Ogos – Skuad bola baling negara memulakan kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dengan langkah kiri apabila dibelasah juara bertahan Qatar 11-64 dalam Kumpulan A hari ini.
Saingan di Gelanggang Olahraga Popki Cibubur, Jakarta itu menyaksikan kesemua jaringan skuad negara masing-masing disumbang oleh Fazrin jamaluddin dengan satu gol, Dzulfiqar Ismail (satu), Salman Sayyidi Hamzah (tiga), Solihin Mustafa Kamal (tiga), Amirul Ikram Abdul Razak (satu), Faizan Damanhuri (satu) dan Ridzuan Razali (satu).
Malaysia selepas ini perlu mengatasi Iran pada Rabu ini pukul 7 petang waktu Malaysia dalam usaha menghidupkan peluang untuk mara ke undian utama.
Bagi pusingan awal, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Qatar dan pemenang tempat keempat edisi lalu, Iran.- UTUSAN ONLINE










