Jual Equanimity langkah tepat – PM - Utusan Malaysia

Jual Equanimity langkah tepat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG 11 Ogos – Langkah Malaysia untuk menjual kapal mewah Equanimity yang dipercayai dibeli daripada duit hasil skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak bertenta­ngan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menegaskan perkara itu berkata, Malaysia mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana duit yang didakwa diseleweng adalah milik negara dan langkah menjual semula kapal itu tepat bagi membolehkan kerajaan mendapatkan semula duit tersebut.

Pada masa yang sama, jelas Dr. Mahathir, jika Malaysia tidak menjual Equanimity de­ngan kadar segera, kerajaan terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM2 juta sebulan hanya untuk kos penyelenggaraan bagi memastikan kapal itu berada dalam keadaan terbaik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah berbincang de­ngan mereka (DoJ), saya tidak fikir mereka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kita, orang yang mereka mahu ambil tindakan, Jho Low,” katanya dalam sidang akhbar selepas meluangkan masa kira-kira sejam melawat Equanimity di Terminal Boustead Cruise Centre, di sini hari ini.

Yang turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Pang­lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Equanimity yang berharga RM1 bilion tiba di Malaysia Selasa lalu selepas berlepas dari perairan Batam, Indonesia, sehari sebe­lumnya dan dibawa pulang de­ngan diiringi kapal perang Frigat KD Jebat milik TLDM serta tiga kapal peronda Polis Marin.

Kapal itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari lalu ekoran siasatan dilakukan DoJ. Kapal terbabit kemudiannya diserahkan kepada Malaysia atas permintaan Dr. Mahathir, semasa Perdana Menteri berkunjung ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Pada 6 Ogos lalu, Malaysia mengeluarkan waran untuk me­rampas secara rasmi kapal mewah tersebut mengikut undang-undang negara ini tetapi pada Isnin lalu, Low Taek Jho atau Jho Low, membalas dengan memfailkan notis kepada sebuah mahkamah daerah California di Amerika Syarikat, bagi mencabar tindakan berkenaan.

Mengulas lanjut perkara itu Dr. Mahathir berkata, kerajaan meng­alu-alukan tindakan Jho Low untuk mengambil tindakan undang-undang balas ke atas Malaysia, selain mencabar ahli perniagaan terbabit agar segera pulang ke negara ini dan membuktikan bahawa Equanimity adalah miliknya.

“Bagi saya kalau dia hendak ambil tindakan undang-undang, dia boleh datang kepada kita dan buktikan yang kapal ini milik dia, sebab kita hendak tahu dari mana dia dapat wang sebanyak itu (untuk membeli kapal), kita siasat punca wang itu dan teramat yakin ia datangnya daripada 1MDB,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×