KUALA LUMPUR 14 Ogos – Lelaki yang menetak anaknya berusia lima tahun dalam kejadian di Flat Puchong Permai, Subang Jaya, dekat sini semalam dikatakan tidak bekerja.
![]() |
|
MOHD. ROHIM
|
Jiran mangsa, Mohd. Rohim Mahrawi berkata, pasangan terbabit baru sahaja menyewa di rumah itu sejak enam bulan lalu.
Ujarnya, ketika kejadian, isteri mangsa keluar bekerja dan suspek dikatakan menjaga anaknya itu.
“Suspek peramah dengan jiran tetangga di sini, dia selalu bawa anaknya keluar mengambil isteri ditempat kerja.
“Tidak sangka dia tergamak lakukan perkara sedemikian kepada anak tunggalnya itu,” katanya ketika ditemui, di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, suspek berusia 35 tahun dikatakan menetak tiga kali bahagian kepala dan pergelangan kanan anaknya yang sedang tidur.
Suspek bagaimanapun ditahan dirumahnya dan semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
Selain itu, suspek juga dikatakan peminum tegar ketum dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. – UTUSAN ONLINE












