PUTRAJAYA 13 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jet peribadi milik jutawan Low Taek Jho atau Jho Low akan dibawa ke negara ini secepat mungkin selepas pesawat berkenaan dapat diselenggarakan.
Menurut Perdana Menteri, jet peribadi milik jutawan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu telah lama tidak diselenggarakan.
“Ia tidak selalu diterbangkan dan berada di atas lapangan agak lama, jadi ia ia mesti diselenggara dan diperiksa. Selepas selesai, ia akan dibawa ke sini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Semalam, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan berbincang dengan Singapura bagi membawa pulang jet peribadi yang didakwa milik Jho Low selepas berjaya membawa pulang kapal mewah milik jutawan itu, Equanimity.
Pada Februari tahun lalu, jet Bombardier Global 5000 yang dikatakan milik Jho Low itu dirampas ketika mendarat di di Lapangan Terbang Seletar Singapura.
Jet itu adalah sebahagian daripada aset yang didakwa diperoleh melalui dana yang diseleweng daripada 1MDB. – UTUSAN ONLINE










