KUALA LUMPUR 28 Ogos – Keadaan jejantas berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang dekat sini yang terbiar tanpa diselenggara mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia di laluan yang menghubungkan stesen komuter berkenaan dengan Taman Muhibah mendapati jejantas yang menjadi laluan ribuan pengguna pada setiap hari itu seperti langsung tidak diselenggara.
Orang ramai yang ditemui turut kecewa dengan sikap pihak bertanggungjawab yang seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan orang ramai di situ.
Selain kerosakan pada sebahagian besar bumbung jejantas, kawasan di sekitar kemudahan itu juga dicemari sampah-sarap yang mencacatkan pemandangan.
Begitu juga dengan struktur kemudahan berkenaan yang berkarat dan lusuh.
Difahamkan, walaupun jejantas tersebut merupakan laluan utama pengguna pengangkutan awam, aduan orang ramai mengenai masalah itu seperti tidak dipedulikan.
Menurut pengguna stesen komuter berkenaan, masalah tersebut sudah berlarutan sejak kira-kira lima tahun lalu tanpa sebarang kerja penyelenggaraan atau pembaikan dilakukan demi keselesaan pengguna.
Sementara itu, pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) ketika dihubungi berkata, aspek pengurusan dan penyelenggaraan jejantas itu tidak terletak di bawah bidang kuasanya.
Sehubungan itu, pihak yang bertanggungjawab digesa supaya membaiki kerosakan bumbung jejantas yang pecah sehingga menyukarkan orang ramai melaluinya terutama pada hari hujan.











