PUTRAJAYA 13 Ogos – Kerajaan bercadang mengurangkan kuasa Perdana Menteri dengan jawatan Ketua Audit Negara akan ditentukan menerusi Jawatankuasa Khas Parlimen yang bakal ditubuhkan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata, usaha berkenaan dilakukan bagi mengelakkan campur tangan kerajaan terhadap tindakan-tindakan yang dijalankan oleh badan-badan berkenaan dan meningkatkan integriti.
“Audit adalah perkara penting untuk tingkatkan pengurusan kerajaan mengikut aturan, sekarang ini, pemilihan Ketua Audit Negara ini ditentukan oleh Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kita akan pindahkan pemilihan Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Khas Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Katanya, selaras usaha meningkatkan integriti, beberapa Jawatankuasa Khas Parlimen yang lain juga akan diwujudkan untuk pelantikan dalam badan-badan lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Perdana Menteri dan kerajaan tidak akan campur tangan dan tiada kuasa untuk mengena, menjatuhkan hukuman, menyingkir dan menurunkan pangkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











