PULAU PINANG 19 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan yang dipenuhi dengan acara hiburan semata-mata tidak akan membantu generasi muda memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pengisian sambutan itu juga sangat berbeza berbanding ketika tahun-tahun awal negara mencapai kemerdekaan yang mana semangat rakyat ketika itu berkobar-kobar untuk meraikan pembebasan negara daripada penjajah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sambutan Hari Kebangsaan diisi dengan program-program yang memberi penekanan kepada usaha-usaha pejuang negara terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negara.
“Jika kita lihat kembali, bagaimana susahnya perjuangan pasukan beruniform kita seperti askar, polis dan bomba dalam berjuang mendapatkan kemerdekaan.
“Begitu juga dengan para pemimpin pelbagai kaum ketika itu, malah golongan wanita turut sama berjuang sehingga ke tahap mengangkat senjata terutama ketika era penjajahan komunis,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Yussof, generasi muda hari ini melihat seolah-olah usaha mencapai kemerdekaan itu sesuatu yang mudah dan memadai hanya diraikan dengan pelbagai acara hiburan.
Sehubungan itu, tambahnya, Pemenang mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-61 peringkat persatuan berkenaan pada malam 30 Ogos ini.
Tambahnya, dalam majlis itu yang akan bermula pada pukul 6.30 petang di bangunan Pemenang di sini, beliau akan berkongsi pengalamannya sebagai antara individu yang melalui dan melihat sendiri proses kemerdekaan tanah air.
“Saya juga akan menyentuh mengenai jasa-jasa tokoh kemerdekaan negara dalam kalangan anak jati negeri ini yang disifatkan tokoh tidak didendang seperti Mohd. Noor Ahmad dan Ahmad Badawi,” katanya.











