Jangan melangkaui Perlembagaan - Utusan Malaysia

Jangan melangkaui Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM begitu banyak kenyataan dan pandangan golongan yang mengemukakan hujah berlandaskan alasan ‘Malaysia baharu’ kebelakangan ini, telah mencerminkan satu kecelaruan pemikiran yang begitu ketara.

Mereka gagal membezakan antara merombak pentadbiran dan merombak Perlembagaan. Perbezaan ini amat kritikal dan perlu difahami, jangan dicampur adukkan.

Sekiranya perbezaan ini tidak dihormati dan dipatuhi, pertembungan kelompok yang memperjuangkan pembaharuan dengan kelompok yang mempertahankan Perlembagaan tidak dapat dielakkan.

Sesiapa sahaja yang inginkan pentadbiran diperbaharui dan diperkasa tidak akan menolak apa jua inisiatif ke arah itu. Sifar rasuah. Sifar pembaziran. Integriti. Tender terbuka. Pengurusan cekap dan tinggi produktiviti. Banteras salah guna kuasa dan ketirisan pengagihan kewangan, tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang sama ada di luar atau dalam kerajaan.

Masalah serius akan timbul sekiranya langkah pembaharuan atau rombakan yang dicadangkan melangkaui had, kerangka atau parameter yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Terdapat empat asas tunjang, tonggak atau pancang dalam Perlembagaan yang mencorakkan identiti kebangsaan dan kenegaraan. Empat tonggak ini menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang telah disepakati semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.

Tonggak-tonggak tersebut adalah Islam sebagai agama Persekutuan, raja-raja Melayu sebagai pemimpin tertinggi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Semua warganegara Malaysia daripada yang paling tinggi sehingga rakyat jelata perlu celik Perlembagaan. Berhujahlah dalam lingkungan, had atau parameter yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Jangan melangkaui had tersebut.

Bagaimana pula sekiranya ada kelompok yang ingin merombak Perlembagaan? Sekarang ini sesuatu yang dahulunya dianggap tidak akan berlaku, boleh terjadi. Kelompok ini akan menggunakan apa juga cara sama ada menerusi Parlimen, perundangan atau kumpulan pendesak untuk memperjuangkan hasrat mereka.

Sekiranya ini berlaku, pertembungan dengan kelompok yang mempertahankan Perlembagaan tidak dapat dielakkan. Kelompok Melayu dan bumiputera yang mempertahankan Perlembagaan tidak rasis. Merekalah kelompok yang dizalimi.

Ibarat mereka diasak ke dinding. Tidak ada jalan keluar melainkan menggempur kembali penyerang Perlembagaan.

Sebelum situasi ini berlaku, berfikir dan bertindaklah dengan matang dan berwibawa dalam lingkungan, had, kerangka dan parameter yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

STATUS QUO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×