KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan kuasa yang ada untuk memansuhkan mana-mana rang undang-undang yang telah digubal oleh kerajaan terdahulu.
![]() |
|
AZALINA OTHMAN SAID
|
Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, undang-undang yang digubal seperti Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 adalah bertujuan untuk melindungi rakyat.
“Jangan ambil kesempatan sebab ada kuasa majoriti, jangan lanyak sahaja.
“Kalau kata undang-undang ini zalim, jangan marahkan nyamuk bakar kelambu, kita kena fikir undang-undang yang dibuat adalah untuk melindungi rakyat kerana di luar sana ada negara yang rakyatnya berperang kerana berita palsu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Rang undang-undang tersebut yang bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan diluluskan pada 2 April 2018.
Menerusi rang undang-undang itu, ia mentafsirkan berita tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio, adalah palsu.
Walau bagaimanapun kerajaan PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk menghapuskan rang undang-undang tersebut kerana disifatkan sebagai zalim – UTUSAN ONLINE












