Jangan batal projek ECRL - Utusan Malaysia

Jangan batal projek ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar jangan menafikan hak rakyat di negeri Pantai Timur untuk menikmati pembangunan dengan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Peringatan itu disuarakan oleh Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu kerajaan mengkaji semula kos pembinaan projek berkenaan bagi memastikan rakyat Pantai Timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang menerima kesan pembangunan yang sama seperti mana yang dinikmati rakyat di kawasan Pantai Barat.

“Pada pandangan saya jika masalahnya melibatkan kos yang mahal, kos tersebut perlu dikaji semula jangan dibatalkan projek tersebut. 

“Mungkin secara kebetulan tiga negeri ini (Kelantan, Terengganu dan Pahang) tidak diwakili PH tetapi mereka telah memberikan mandat kepada pemimpin yang dipilih, elok dikaji semula projek ini, lambat tidak apa kerana ini negara kita bersama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelajaan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan juga meminta kerajaan PH memastikan hanya golongan profesional yang mempunyai merit untuk menguruskan syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi-agensi penting kerajaan.

“Khazanah Nasional Bhd. kita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Pengerusinya manakala Ahli Parlimen Gombak ( Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah.

“Saya rasa bagi Malaysia Baharu elok GLC ini diserah kepada golongan profesional yang mempunyai merit untuk menguruskannya, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN