JAKARTA – Kuartet pecut China di Sukan Asia 2018 mengharapkan tuah memihak kepada mereka selepas salah seorang pelari harapan, Xie Zhenye mengumumkan penarikan dirinya menerusi sosial media pada saat akhir semalam.
Zhenye bersama dengan jaguh pecut Asia, Su Bingtian merupakan tonggak penting dalam kejayaan kuartet China merangkul emas pada acara 4×100 meter berganti-ganti pada edisi Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.
Pemegang pingat perak kejohanan dunia tersebut memuat naik gambar keputusan diagnosis bagi mengesahkan dirinya masih dibelenggu kecederaan ligamen deltoid di pergelangan kaki kanannya.
Kecederaan tersebut berpunca daripada insiden di mana Zhenye tersadung ketika menyerahkan baton kepada rakan sepasukan pada Kejohanan Liga Berlian di London, Julai lalu.
“Imbasan semula pergelangan kaki kanannya saya menunjukkan bahawa kecederaan masih lagi belum pulih. Selepas berbincang dan mengambil kira pelbagai aspek bersama pasukan, saya mengambil keputusan untuk menarik diri.
“Saya perlu mengambil keputusan ini untuk kebaikan jangka masa panjang. Saya minta maaf kerana sering membuatkan anda semua kecewa,” jelasnya. – Agensi











