ISU-ISU AKHBAR CINA - Utusan Malaysia

ISU-ISU AKHBAR CINA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANWAR KEMBALI DALAM POLITIK

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 9 Ogos 2018 me­maparkan tulisan Cheah See Kian yang mengupas me­ngenai kemunculan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik tanah air selepas menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Dalam tulisannya yang bertajuk “Anwar Ibrahim akhirnya kembali ke dalam politik” dalam ruangan ODN Column di halaman 46, See Kian mengimbas kembali sejarah perjuangan politik Anwar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bermula dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO, beliau melonjak ke jawatan begitu tinggi menjadi Timbalan Presiden dalam masa singkat 10 tahun. Hanya tinggal selangkah lagi untuk menjadi Per­dana Menteri. Anwar dilihat terlalu gopoh untuk mengambil alih jawatan itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu mula kecewa dengan sikap Anwar selain mendapat maklumat berhubung kelakuan tidak bermoralnya.

Pada pemilihan UMNO 1996, Dr. Mahathir mula menentang Anwar apabila mencalonkan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan Timbalan Presiden.

Dua tahun selepas itu, iaitu pada 2 September 1998, Dr. Mahathir mengenakan tindakan ke atas Anwar dengan melucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memecatnya daripada UMNO.

Selepas peristiwa itu, bermulalah episod reformasi yang dige­rakkan Anwar untuk menentang Dr. Mahathir. Anwar kemudiannya menubuhkan PKR pada 1999. Tetapi pada tahun yang sama beliau dipenjarakan atas kesalahan moralnya itu.

PRU 2008 menyaksikan BN hilang separuh kerusi Parlimen dan Dr. Mahathir memaksa Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak pu­la mengambil alih jawatan itu.

Pada mulanya, Dr. Mahathir meng­anggap Najib berjaya memimpin negara. Namun, tidak dijangkakan apabi­la PRU 2013 tidak nampak sebarang perubahan. Ba­nyak kawasan ti­­dak dapat di­rampas kembali oleh BN.

Walaupun Dr. Mahathir mahu Najib meletak jawatan namun ia ditolak oleh Najib kerana menganggap BN masih lagi dapat menguasai Kerajaan Pusat. Dalam waktu itu, Dr. Mahathir berharap Najib dapat di­tum­bangkan melalui gerakan dalaman UMNO. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

Oleh sebab itu, Dr. Mahathir menukar strategi dan mula rapat dengan parti pembangkang. Beliau sendiri turun ke mahkamah berjumpa dengan Anwar untuk berbaik-baik dan meninggalkan sengketa lama.

Tidak kiralah sama ada Dr. Mahathir rela ataupun tidak, langkah itu perlu dilakukan kerana jika tiada sokongan daripada Anwar, beliau merasakan ia tidak mungkin dapat menyertai Pakatan Harapan (PH).

Begitu juga Anwar, beliau tahu jika tidak bekerjasama dengan Dr. Mahathir, impian untuk merampas kerajaan tidak akan tercapai. Ternyata impian itu benar-benar tercapai apabila kerajaan BN tersungkur pada PRU-14 lalu.

Anwar telah menunggu selama 20 tahun untuk peluang kedua ini. Kini beliau juga buat kali pertama menjadi Presiden parti yang pa­ling berkuasa. Kedudukannya tidak ku­rang hebat seperti Presiden UMNO.

Kali ini beliau tidak boleh terlepas peluang dan memainkan peranan yang lebih penting dalam kerajaan dan juga sebagai pembuat keputusan.

KERJASAMA UMNO-PAS

AKHBAR Sinchew Daily News bertarikh 7 Ogos 2018 memaparkan tulisan Lim Sue Guan yang mengupas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis baru-baru ini.

Dalam tulisannya yang bertajuk Pakatan Harapan sepatutnya lebih yakin dalam ruangan Opinion Yanlu di halaman 20, Sue Guan turut membangkitkan langkah kerjasama UMNO-Pas pada PRK itu.

Kedua-dua parti itu telah membentuk kerjasama apabila Pas memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding sekali gus menyeru semua ahli Pas menyokong calon UMNO.

Tetapi nampaknya, strategi berkenaan tidak mencapai se­perti yang dijangkakan. Jika digabungkan undi kedua-dua parti itu, keputusan PRK itu hanya mencapai 37.9 peratus iaitu lebih rendah berbanding PRU-14 lalu sebanyak 44.24 peratus.

Ini bermakna ada sesetengah pengundi Pas te­lah menentang langkah kerjasama itu. Dengan isyarat tersebut, kepemimpinan Pas sepatutnya boleh berfikir adakah mereka masih perlu bekerjasama dengan UMNO lagi?

Selain itu, semasa kempen PRK DUN Sungai Kandis lalu, UMNO cuba memainkan isu perkauman dan agama, termasuk hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan bahasa kebangsaan yang terancam.

Walau bagaimanapun, stra­­­tegi menakut-nakutkan pe­ngundi dengan menggunakan sentimen itu sudah tidak berkesan. Perubahan UMNO untuk menjadi parti yang lebih agresif seolah-olah semakin menemui jalan mati.

Selagi UMNO menggunakan isu perkauman, masih berkhayal bekerjasama dengan Pas selain berlaku pelbagai konflik dalaman BN, setiap langkah yang diatur pasti sukar.

Bagaimanapun, PH tidak boleh selesa dengan peratusan rendah keluar mengundi sebanyak 49.4 peratus. Para pengundi seolah-olah mahu menunjukkan protes terhadap kepemimpinan mereka.

Emosi seperti ini sedang me­rebak dan dijangka penurunan nisbah keluar mengundi akan turut berlaku dalam PRK DUN Balakong dan Seri Setia pada 8 September ini.

Tiga bulan lalu, semangat rak­yat begitu tinggi, namun belum sampai 100 hari pengundi telah pun berkurangan. Ini menggambarkan satu keadaan luar biasa seolah-olah rakyat mahu memberi amaran kepada kerajaan baharu jangan sesekali mencabar kesabaran rakyat menerusi pelbagai isu yang melingkari ke­pemimpinan PH ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN