KUALA LUMPUR 20 Ogos – Industri e-dagang tempatan dijangka meneruskan momentum pertumbuhan mengambil kira pelbagai usaha kerajaan meningkatkan kadar penembusan internet dalam kalangan orang ramai.
![]() |
|
SHARMEEN LOOI
|
Pengasas Bersama ShopBack Malaysia, Sharmeen Looi berkata, kemasukan pemain gergasi global seperti Alibaba juga secara tidak langsung telah memanfaatkan pemain tempatan hasil perkongsian pengetahuan.
“Seluruh negara sedang bergerak ke arah e-dagang dengan potensi penuh dan tugas kami adalah membantu mengembangkan seluruh ekosistem,” katanya ketika ditemui pada pelancaran ShopFest di sini hari ini.
Yang turut hadir, Persatuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kebangsaan Malaysia (Pikom), Ganesh Kumar Bangah; Pengarah Negara Traveloka Malaysia dan Singapura, Halif Hamzah; Pengarah Urusan Zalora Malaysia, Rostin Javadi; Ketua Pegawai Pemasaran 11street, Jenny Tay dan Ketua Pemasaran Jenama Asia Tenggara Expedia, Agnes Eng.
ShopBack melancarkan portal sehenti, ShopFest yang membantu pengguna mendapatkan tawaran beli-belah dan pulangan tunai sempena festival beli-belah selama empat bulan sehingga hujung tahun ini.
Looi berkata, portal tersebut akan dilancarkan di tujuh buah negara dengan Malaysia menjadi hentian pertama, diikuti Filipina, Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan terbaharu Australia.
“Festival ini melibatkan enam acara beli-belah antara September hingga Disember iaitu #Mycybersale, 9.9 Rewards Day, 11.11 Single Day, Black Friday Cyber Monday, 12.12 Online Fever serta jualan akhir tahun Krismas dan tahun baharu.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai semua acara ini dengan mudah dan mengetahui tentang bagaimana untuk membeli-belah dengan bijak melalui portal www.shopfest.my,” kata beliau.
Selama tiga setengah tahun, ShopBack berkembang daripada 5,000 ke lebih sejuta pengguna di Malaysia, dan lebih enam juta pengguna di Asia Pasifik, malah angka itu terus meningkat.
“Selain memfokuskan kepada pasaran baharu iaitu Australia, kami juga akan mengutamakan usaha mengembangkan pasaran di Thailand terutama dalam mencari bakat baharu dan menambah baik khidmat pelanggan,” katanya.












