Incheon Sukan Asia kos rendah - Utusan Malaysia

Incheon Sukan Asia kos rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT pertama kali tuan rumah Sukan Asia 2014 mengambil pendekatan penganjuran kos rendah yang menyaksikan Incheon berdepan pelbagai risiko sebelum temasya bermula.

Hanya AS$2 bilion (RM8.1 bilion) diperuntukan untuk kos keseluruhan temasya Incheon ketika itu dan secara kasarnya, jumlah berkenaan hanya satu persepuluh lebih rendah berbanding yang dibelanjakan penganjur di Guangzhou 2010.

Langkah tersebut dibuat oleh Korea Selatan dalam usaha memastikan Sukan Asia berlangsung dengan jaya dan mengawal perbelanjaan ditanggung penganjur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Temasya di Incheon yang berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober mempertandingkan 439 acara daripada 36 jenis sukan dengan jumlah penyertaan atlet seramai 9,501 orang.

Sebelum temasya bermula tuan rumah telah berdepan pelbagai dugaan atas langkah penjimatan berkenaan berikutan kurang menarik kehadiran penonton kerana jualan tiket yang perlahan.

Beberapa hari sebelum temasya membuka tirai hanya 10 peratus tiket sudah terjual iaitu melibatkan sukan-sukan utama.

Bukan itu sahaja, keputusan Korea Utara untuk tidak menghantar skuad sorak terkenal mereka di Incheon juga memburukkan lagi keadaan.

Ini kerana kehadiran skuad sorak Korea Utara yang dibarisi anggota berwajah model sering menjadi daya tarikan utama dalam kejohanan yang diadakan di Korea Selatan sebelum ini.

Biarpun menganjur dengan kos rendah, namun temasya di Incheon tetap berjalan lancar terutama majlis pembukaan yang menyajikan persembahan bintang K-Pop yang menjadi teras acara.

Ini juga kali ketiga Korea Selatan menjadi tuan rumah Sukan Asia selepas 1986 (Seoul) dan 2002 di Busan.

China unggul dengan muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 151 pingat emas.

Begitupun, edisi ke-17 temasya mencatat sedikit kekecewaan buat Malaysia apabila gagal memenuhi sasaran lapan emas selepas pulang bersama lima emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Skuasy dan karate masing-masing menyumbang dua emas, manakala satu lagi emas dihadiahkan pelayaran.

Datuk Nicol David menyumbang dua emas dalam skuasy perseorangan dan berpasukan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN