MUKADIMAH: Mengikut sejarahnya, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bukannya satu sistem cukai baharu di negara ini kerana ia telah pun diguna pakai di negara ini sejak tahun 1970-an sehingga ia digantikan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.
Secara prinsipnya, sistem percukaian ini tidak akan membebankan rakyat kerana hasil yang akan diperoleh kerajaan adalah terus daripada pengeluar serta peniaga yang layak danbukannya diperoleh daripada rakyat.
Setakat ini, dilaporkan masih banyak negara yang melaksanakan SST atau pun cukai jualan seperti Argentina, Australia, Austria, Belgium, Bolivia, Brazil, Kanada, Ecuador, Perancis, Jerman, Britain, Hungary, Itali, Belanda, New Zealand, Filipina, Poland, Porto Rico, Romania dan Rusia.
Ikuti laporan khas wartawan Utusan Malaysia AZMAN IBRAHIM berhubung pelaksanaan SST yang bermula 1 September ini.
KUALA LUMPUR 30 Ogos – Sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan di negara ini sejak 1970-an dan akan dilaksanakan semula pada 1 September ini merupakan satu sistem percukaian yang unik dan mengikut acuan tersendiri.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, sistem ini tidak perlu terikut-ikut dengan apa yang diamalkan oleh negara-negara lain kerana struktur ekonomi dan keperluan di sini agak berbeza.
Sehubungan itu, katanya, langkah kerajaan memperkenalkan SST semula adalah disebabkan kerajaan memikirkan ia merupakan satu kaedah menambahkan pendapatan negara yang lebih baik dari cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana impak kepada rakyat tidak terlalu ketara.
“Apabila SST dilaksanakan pada 1 September ini, sedikit sebanyak akan mengurangkan kebimbangan kerajaan ke atas hutang negara yang makin meningkat kerana SST mampu menyumbang kepada pendapatan negara dalam lingkungan RM20 bilion setahun.
“Kita sedia maklum bahawa kos hutang tahunan negara sahaja sudah melebihi RM30 bilion, maka SST diharap dapat menampung sekurang-kurangnya dua pertiga daripada kos hutang tahunan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Ahmed Razman, kesan SST kepada rakyat ialah kebanyakan barangan yang tersenarai di dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) tidak akan dikenakan SST yang sepatutnya menyebabkan harga barangan tidak naik seperti dahulu apabila GST diperkenalkan.
Namun, katanya, penting untuk kerajaan memantau tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan walaupun barangan tersebut tidak lagi dikenakan SST dan GST.
“Kebanyakan negara di dunia mengenakan cukai jualan tetapi kaedahnya berbeza. Kebanyakannya mengenakan cukai seperti GST atau lebih dikenali sebagai Value Added Tax. Tidak banyak negara di dunia yang sebenarnya mengenakan SST seperti Malaysia. Namun kaedah cukai yang dikenakan oleh kerajaan bergantung kepada situasi negara masing-masing,” katanya.
Ketika ditanya adakah Malaysia melaksanakan SST sama seperti Hong Kong dan dan Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, Hong Kong tidak melaksana GST dan SST sebaliknya mempunyai cukai pendapatan, cukai hartanah dan cukai keuntungan kerana struktur tadbir urus mereka berbeza dengan negara lain iaitu sebahagian kos pentadbiran negara ditanggung oleh China.
Maka, katanya, Hong Kong tidak perlu menjana pendapatan yang tinggi melalui cukai tambahan, manakala di AS, negara kuasa ekonomi dunia itu mengenakan dua jenis cukai di peringkat Persekutuan dan peringkat kerajaan tempatan.
“Di AS, cukai dikenakan ke atas pendapatan, hartanah, jualan, keuntungan modal, dividen, import dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, kerajaan perlu membuat penyelarasan terhadap SST bagi menjadikan sistem percukaian ini adalah yang lebih baik daripada GST dan memberi manfaat kepada golongan miskin.
Namun, katanya, memerangi kenaikan harga selepas pelaksanaan SST banyak bergantung kepada dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan.
“Usaha memerangi peningkatan harga perlu dilakukan tidak kira di bawah sistem SST atau GST. Bukan sekadar pelarasan sahaja perlu dibuat terhadap SST. Bagi pandangan saya, lebih baik mengurangkan kesan buruk GST kepada golongan B40 dan kekalkan sistem cukai itu. Bagaimanapun, GST sudah dihapuskan dan kerajaan perlu menjadikan SST lebih baik,” tegasnya.










