KUALA LUMPUR 13 Ogos – Program 1Malaysia for Youth (iM4U) akan distruktur semula bagi mengembalikan objektif asal penubuhan program tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa inisiatif kesukarelaan itu telah disalah guna sebagai platform kepada sesetengah pemimpin politik dan medium kempen ‘I Love PM’.
Malah, dakwa beliau, banyak dana juga telah digunakan untuk tujuan tersebut.
“Apabila iM4U mula ditubuhkan objektifnya adalah amat baik iaitu bagi memastikam semangat kesukarelawanan dapat disemai dalam jiwa anak muda di negara ini.
“Walau bagaimanapun, sepanjang pelaksanaan itu, program itu telah disalah guna. Jadi kami mahu memastikan iM4U fokus budaya kesukarelaan dan bukan untuk memperkasakan agenda sesetengah pimpinan politik,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE











