‘Ibarat mimpi jadi nyata’ - Utusan Malaysia

‘Ibarat mimpi jadi nyata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 13 Ogos – Rodney Celvin Akwensivie masih terkejut apabila kembali disenarai untuk beraksi dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Nama bek tengah PKNS FC itu pada mulanya digugurkan oleh pengendali skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee, namun dipanggil semula bagi menggantikan Danial Amier Norhisham yang tidak sempat pulih daripada kecede­raan.

Kata Rodney, 22, ketika menerima panggilan tersebut dia sudahpun mengemas barangan peribadinya untuk pulang ke rumah tetapi kini dia dalam perjalanan beraksi pada temasya sukan kedua terbesar di dunia itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa seperti bermimpi sebab baru semalam nama saya digugurkan dan pagi ini dipanggil semula.

“Ini peluang untuk saya buktikan sesuatu kepada pasukan. Kalau diberi peluang bermain saya akan beri aksi terbaik buat negara dan penyokong.

“Jujurnya saya tidak percaya apabila dipanggil balik, namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersama pa­sukan.

“Saya menerima panggilan pada pukul 8 pagi tadi dan pada waktu itu saya ingin melakukan persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia bersama PKNS,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Rodney, pemain kelahiran Sarawak yang memiliki darah kacukan Bidayuh-Ghana me­ngakui, dia perlu segera menyesuaikan diri dengan taktikal Kim Swee kerana ini kali pertama berada di bawah pimpinan jurulatih tersebut.

Sementara itu, pemain Felda United, Danial mengakui amat kecewa selepas namanya terpaksa disingkirkan pada saat akhir walaupun sudah menjalani proses pemulihan.

Sudah tentu saya kecewa sebab sasaran saya sejak awal mahu ber­aksi dalam Sukan Asia untuk mencari pengalaman baharu.

“Apabila tidak disenaraikan saya sangat sedih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN