Hidang menu rekaan sendiri - Utusan Malaysia

Hidang menu rekaan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampak dari luaran, kedai makan ini biasa sahaja sebagaimana kedai makan lain yang boleh dijumpai di kebanyakan tempat. Namun, bagi yang mengetahui atau pernah menjadi pengunjung setia kedai makan ini, mereka akan tahu menu-menu yang disajikan adalah di luar jangkaan, berbeza, sedap dan bertaraf lima bintang.

Tidak hairanlah menjelang maghrib sehingga ke dinihari, kedai makan ini akan dipenuhi dengan warga Kampung Pandan, Ampang, Selangor yang mahu menjamu selera sambil duduk bersantai.

Membawa konsep ‘masak apa yang pelanggan mahu makan’, kedai makan Palong Tom Yam Loyang Mak, menyediakan menu berasaskan Thai dan Barat, serta selera baharu rekaan pemiliknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemilik kedai makan itu, Rudita Md. Yusop, 43, memberitahu, dia yang memang suka mereka cipta jenis masakan dan resipi akan cuba memberikan gaya masakan terbaharu bagi kepuasan pelanggan yang datang.

Dibantu oleh suami, Faizal Jalal, 50, dan anak perempuannya, Fatin Najiha, 21, Rudita atau senang dengan panggilan Ita, mengakui adakalanya tidak menang tangan untuk memasak hidangan yang dipesan pelanggan.

“Saya memang suka mereka cipta menu dan cuba mempelbagai cara gaya masakan. Alhamdulillah, setakat ini menu yang dipesan sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

“Kelebihan menu-menu di sini pula ialah ia akan dihidangkan dalam kuantiti besar (big portion)sehingga boleh dikongsi dua atau tiga orang untuk satu hidangan, tetapi harganya amat berbaloi,” katanya.

Mengusahakan kedai makan itu sejak awal tahun ini, sebelum ini dia sekadar membuka gerai makanan di medan selera di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Memandangkan mahu kedai makan sendiri, dia mengambil keputusan berkongsi dengan seorang rakan membuka kedai yang terletak bersebelahan Masjid Al Rahimah di Jalan 2, Kampung Pandan itu.

Katanya, perkataan palong itu sendiri merujuk kepada banyaknya palung atau longkang yang berada di kawasan kedai itu satu masa dahulu.

Namun sekarang, kawasan itu sudah diratakan dan menjadi antara kawasan tumpuan penduduk sekitar, manakala loyang pula ialah signatur Rudita yang istimewa apabila masakannya dihidangkan di dalam loyang.

Antara makanan dan minuman yang mendapat tempat di hati pelanggan di kedai ini ialah ikan dori masak keju, tom yam masakan laut panggang, nasi goreng tsunami, ayam mentega keju, ayam rangup, kepak ayam bersama sos plum Thai, mi loyang mak, kedondong lemon, teh hijau mangga, kedondong loyang mak, lemon pudina dan banyak lagi.

“Saya mempunyai enam orang anak. Dahulu waktu mereka masih kecil sukar untuk membawa mereka ke kedai makan. Sebab itu, di rumah saya reka sendiri masakan yang agar anak-anak dapat makan sedap sehingga mereka tak mahu makan di luar lagi.

“Ada antara menu-menu itu saya bawa dan hidangkan di kedai makan ini.

“Selebihnya, pelanggan sendiri yang meminta menu apa yang dimahukan, lengkap dengan cara masakan yang boleh saya ikut dan hidangkan.

“Bagi yang ingin makan masakan Thai, mereka juga boleh berbuat demikian di sini, begitu juga masakan Barat,” kata wanita peramah yang merupakan ibu kepada artis cilik Danish Zakwan ini.

Palong Tom Yam Loyang Mak dibuka dari pukul 7 malam hingga 3 pagi. Bagi mereka yang mahu menikmati hidangan di sini, boleh layari Facebook dan Instagram, @loyang mak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN