TANAH MERAH 21 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan berlaku kenaikan harga barangan selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada 1 September ini.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenaikan itu berdasarkan tiga senario yang akan berlaku termasuk sama ada harga barang akan kekal ataupun mengalami penurunan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa 22 senarai barang kawalan seperti minyak masak dan gula tidak akan mengalami kenaikan harga kerana perubahan hanya melibatkan barangan tertentu.
“Selama tiga bulan rakyat tidak dikenakan cukai iaitu dalam musim tax holiday dan daripada keadaan tiada apa-apa cukai itu, SST akan dilaksanakan yang mana ada barangan dikenakan kosong, lima dan 10 peratus cukai SST manakala perkhidmatan sebanyak enam peratus.
“Secara logiknya sudah tentu akan berlaku kesan pada harga barang dan pihak kementerian juga sudah mempunyai seramai 800,000 ahli Friends of KPDNHEP bagi membantu pihak penguat kuasa memantau harga barangan di seluruh negara.
“Ini kerana, kita sedar pegawai penguat kuasa kita hanya ada seramai 2,300 anggota di seluruh negara dan sudah tentu kita perlukan pertolongan daripada rakyat sendiri untuk membantu pihak kementerian sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Kepenggunaan kepada Ahli Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat) di Jalan Padang Siam dekat sini, semalam.
Yang turut hadir, Penaung Pakat, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor dan Pemangku Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Firdus Zakaria.
Seramai 15,000 ahli Pakat telah dilantik bagi membantu pihak kementerian memantau harga barangan selepas cukai SST dilaksanakan kelak.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, sebuah jawatankuasa khas Kabinet telah ditubuhkan bagi menangani isu monopoli berkaitan pembekalan barangan dan perkhidmatan.
“Jawatankuasa ini dianggotai beberapa kementerian lain untuk melihat lebih mendalam mengenai perniagaan bersifat monopoli sehingga menjejaskan pesaing lain dan bertindak mengawal harga bekalan.
“Hasil daripada mesyuarat dalam jawatankuasa ini akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut,” jelasnya.











