KUALA LUMPUR 14 Ogos – Janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol di seluruh negara mustahil untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari setelah mengambil kira faktor keadaan kewangan negara yang tidak menentu.
![]() |
|
MOHD. ANUAR TAHIR
|
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir walau bagaimanapun berkata, beliau percaya rakyat faham akan keadaan tersebut dan tidak tergesa-gesa untuk menuntut janji tersebut.
“Tidak mudah untuk kita melakukan semuanya dalam satu masa setelah kami mengambil alih negara dengan keadaan kewangan yang sebegini. Lebih-lebih lagi kerajaan sekarang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) seperti sebelum ini dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih belum dilaksanakan.
“Kita tidak boleh meletakkan tempoh masa untuk pemansuhan tol ini sebab itulah ia tiada dalam manifesto Pakatan Harapan dan kami akan cuba laksanakan dalam tempoh lima tahun ini, tetapi saya tidak boleh mendahului ‘bos-bos’ saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Statistik, Indeks Dalam Pembinaan dan Automasi 2018 (SICA 2018) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE












