KUALA LUMPUR 24 Ogos – Selama tiga minggu celoteh deejay Era FM, Hani Fadzil, 27, tidak kedengaran di corong radio, wanita genit itu kembali menceriakan konti pada Rabu lalu bersempena sambutan Aidiladha.
Selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan (cyst) sebesar bola tenis di bahagian ovari kanannya, kemunculan Hani atau nama sebenarnya Intan Farhani Mohd. Fadzil itu turut menarik perhatian banyak pihak.
Berdasarkan entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Hani begitu bersemangat memulakan tugasan mengendalikan segmen Johara 30 Era yang ke udara bermula pukul 1 tengah hari hingga 4 petang.
Biarpun ‘kehilangan’ Hani dirindui pendengar setia segmen kelolaannya, namun pada hari tersebut tumpuan lebih diberikan terhadap penampilan sopannya menggayakan fesyen muslimah, termasuk bertudung litup.
Menerusi komen-komen ditinggalkan peminatnya, ramai yang memuji tindakan Hani itu kerana menghormati hari kebesaran umat Islam. Malah, hampir kesemua pengikut di laman sosialnya mendoakan agar Hani terus istiqamah, mengekalkan imej tersebut.
Dalam perkembangan lain, Hani ditemui sewaktu pelancaran filem Gol & Gincu Vol. 2 yang bakal menjengah pawagam pada 25 Oktober ini membariskan nama-nama seperti Syafiq Kyle, Ummi Nazeera, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Datin Diana Danielle dan Aedy Ashraf. – UTUSAN ONLINE











