Hakim dan anak dilantik sebagai peguam - Utusan Malaysia

Hakim dan anak dilantik sebagai peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Ogos – Setelah 29 tahun berkhidmat dalam dunia perundangan dan kehakiman, hari ini seorang Hakim Mahkamah Sesyen bersama anak lelakinya diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara dalam suatu majlis di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datin Nursinah Adzmi dan Muhammad Hafizuddin Salehuddin masing-masing merupakan isteri dan anak kepada peguam Datuk Salehuddin Saidin yang juga peguam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Salehuddin yang merupakan tenaga pengajar kepada Muhammad Hafizuddin, 24, turut diberi penghormatan menyarungkan jubah peguam kepada anak dan isterinya, Nursinah, 54, sebagai simbolik penerimaan masuk itu selepas petisyen terbabit tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis tersebut yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah turut menyaksikan lima lagi individu, S. Dhanyaa Shreeya, Wan Nur Fatin Afifah Wan Rozali, Siti Balkis Abd. Razak, Hannah Mahmud dan Nur Hidayah Mohamad Yakob diberi ‘lesen’ sebagai peguam.

Datin Nik Junainah Jaafar yang menjadi peguam pengusul kepada Nursinah mengemukakan petisyen kemasukan sahabatnya itu dengan membacakan latar belakang wanita yang mempunyai empat anak dan seorang cucu serta berpengalaman mengendalikan kes-kes jenayah serta sivil sepanjang perkhidmatannya.

Nursinah berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan lepasan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) dan memulakan kariernya pada tahun 1989 sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah sebelum berkhidmat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika ditemui selepas tamat majlis, Nursinah berkata, beliau masih berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Sivil di Mahkamah Shah Alam namun menyatakan hasratnya akan mempertimbangkan untuk menyertai firma guaman, Tetuan Salehuddin Saidin & Associates milik suaminya apabila tamat tempoh bersara lima tahun lagi.

Muhammad Hafizuddin, anak ketiga pasangan Nursinah dan Salehuddin pula berkata, pada awalnya beliau ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan namun setelah meneliti segala nasihat dan pandangan ibu bapa akhirnya meneruskan kerjaya dalam bidang undang-undang mengikut jejak langkah kedua-dua orang tuanya.

“Ayah mahu saya meneruskan legasi ini dan saya akan buat yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Anak muda itu mengikuti pengajian Asasi Undang-undang di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-undang (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Salehuddin turut meluahkan rasa terharu dan berbangga kerana isteri dan salah seorang anaknya mengikut jejak langkah dalam bidang sama walaupun pada awalnya terpaksa memaksa anaknya itu.

“Sekurang-kurangnya ada seorang anak yang mengikut jejak langkah kami dan saya bersyukur serta berharap suatu hari nanti isteri turut sama berkhidmat sebagai peguam dalam firma kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN