Hak milik tanah 999 tahun bercanggah Perlembagaan - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Hak milik tanah 999 tahun bercanggah Perlembagaan – Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 13 Ogos – Kerajaan negeri menetapkan pendirian bahawa cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru bercanggah dengan Perlembagaan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold’ bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Menurutnya, mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

“Keputusan ini sekaligus mengikat semua negeri di Semenanjung seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan, oleh itu cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

“Memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan, perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan melalui MTN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pekeliling oleh Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan iaitu dari perspektif Perlembagaan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada efek operasi undang-undang yang mengikat kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mematuhinya.

“Sehubungan itu jika ada tindakan kerajaan-kerajaan negeri yang membelakangi keputusan MTN maka tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga mengambil pendirian tegas bahawa tanah kerajaan negeri tidak boleh dipindah milik individu lebih-lebih lagi jika melibatkan aktiviti pencerobohan.

Kata beliau, bagaimanapun atas budi bicara, kerajaan negeri boleh membenarkan tanah-tanah tersebut diusahakan dengan membuat permohonan menyewa atau boleh diberikan lesen pendudukan sementara (TOL).

Katanya, kerajaan negeri tetap bertegas bahawa tanah-tanah kerajaan negeri tidak boleh diberikan kepada individu sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada jumlah rizab tanah atau ‘land bank’ kerajaan negeri.

“Tanah adalah aset yang amat berharga kepada kerajaan dan sekiranya kerajaan negeri memberikan hak pemilikan kepada semua mereka yang menceroboh tanah kerajaan, ia akan membuka ruang atau ‘floodgate’ kepada lebih banyak aktiviti pencerobohan.

“Ini juga akan memberi kesan jangka masa panjang kepada perancangan kerajaan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya di masa depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN