ISLAM memberi hak kepada setiap individu menyuarakan pandangan atau idea berkaitan hal ehwal keagamaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Kebebasan bersuara sepatutnya dijadikan sebagai amalan kepada masyarakat yang maju dan bertamadun. Perkara berkaitan kemungkaran yang boleh menghancurkan masyarakat dan agama perlu dicegah dan dibanteras sebelum ia menjadi tradisi masyarakat Islam. Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat prihatin terhadap nilai-nilai dan tradisi Islam.
Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara sekular yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada masyarakat untuk mengamalkan sebarang budaya dan corak kehidupan mengikut pilihan mereka. Islam adalah agama yang amat prihatin terhadap hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta.
Berdasarkan kepada prinsip ini maka umat Islam sentiasa merasai bahawa mereka mempunyai hak untuk mengawal, menegur dan mencegah saudara sesama Islam daripada melakukan kemungkaran dan mengekalkan kehidupan Islam demi untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Konsep saudara sesama Islam bukan hanya berdasarkan kepada persamaan akidah atau kepercayaan tetapi ia merangkumi keseluruhan aspek berkaitan kerjasama dalam soal aspek pemeliharaan akidah, syariah dan akhlak. Setiap individu Islam mempunyai hak untuk memberi nasihat, mencegah dan menghalang saudara Islam daripada terlibat dalam kegiatan yang bertentangan dengan nilai dan syariah Islam. Ini juga satu kewajipan kepada masyarakat Islam.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Tidaklah satu kaum itu apabila maksiat dikerjakan dalam kalangan mereka kemudian mereka tidak mengubahnya sedangkan mereka berupaya berbuat demikian melainkan hampir-hampir Allah akan mengenakan azab-Nya ke atas mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).
Kemungkaran dan kemaksiatan dalam kategori yang boleh menghapuskan fitrah ciptaan manusia jika dibiarkan boleh menyebabkan kegiatan tersebut tersebar luas yang mana akhirnya menjadi tradisi dalam kehidupan umat Islam.
Umat Islam sepatutnya bekerjasama membanteras kegiatan itu dengan memulihkan individu-individu terlibat supaya kembali kepada kehidupan berdasarkan kepada fitrah kejadian manusia. Perkara yang bertentangan dengan hukum hakam Allah perlu ditegaskan pengharamannya supaya masyarakat Islam secara keseluruhannya memahami bahawa perlakuan tersebut adalah dimurkai Allah dan boleh merosakkan akidah masyarakat Islam.
Umat Islam sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah dan syariah Islam adalah berbeza dengan agama lain. Nilai dan persepsi masyarakat bukan Islam berkaitan perkara mungkar dan dosa adalah berbeza dengan umat Islam. Oleh itu, setiap pandangan dan amalan masyarakat bukan Islam berkaitan sesuatu kegiatan yang dianggap sebagai mungkar dan dosa oleh Islam tidak boleh dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.
Prinsip dan konsep dosa dan pahala dalam Islam perlu ditegaskan supaya umat Islam kekal mempertahankan kewibawaan diri sebagai hamba Allah yang dirahmati dan diberkati di dunia dan akhirat. Hukum hakam Allah dipertahankan demi membentuk masyarakat yang mempunyai nilai akhlak yang tinggi dan bertamadun.
Pengabaian dalam aspek mencegah kemungkaran boleh menyebabkan umat Islam hilang nilai kehidupan sebagai manusia yang berwibawa dan dihormati dan dilaknat oleh Allah.
Dalam konteks masa kini perbuatan mungkar dan maksiat yang amat dimurkai oleh Allah sudah menjadi amalan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam kurang prihatin terhadap pencegahan kegiatan tersebut.
Terdapat kes yang mana perbuatan mungkar dibela oleh umat Islam dengan alasan untuk mempertahankan hak asasi manusia. Islam mempertahankan hak asasi manusia berdasarkan kepada nilai dan batas kehidupan berlandaskan kepada fitrah kejadian manusia.
Jika terdapat umat Islam melakukan kegiatan yang boleh merugikan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat maka umat Islam diseru supaya membanteras kegiatan tersebut dan memujuk saudaranya supaya bertaubat dan mengamalkan ajaran Islam.
Konsep kasih sayang dalam agama Islam tidak boleh disamakan dengan persepsi masyarakat sekular yang tidak menghiraukan perkara berkaitan syurga dan neraka. Sedangkan kasih sayang dalam Islam menekan aspek mendorong manusia supaya mengamalkan kehidupan berdasarkan kepada wahyu Ilahi agar mereka memperoleh syurga yang adalah kebahagiaan hidup yang hakiki seperti mana firman Allah dalam Surah 16 (al-Nahl ): 32 bermaksud: “(iaitu) orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): ‘Salaamun ‘alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan’”.
Dalam Surah yang sama ayat 30 firman Allah yang bermaksud: “Orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa”.
Oleh itu, berusahalah untuk membanteras kemungkaran dan kemaksiatan supaya semua umat Islam mendapat ganjaran yang istimewa di hari akhirat.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











