JAKARTA 20 Ogos – Kesilapan ketika mendarat menyebabkan atlet wusyu negara Tan Cheong Min terlepas peluang untuk merangkul pingat acara gabungan Nanquan & Nandao Sukan Asia 2018 di Pusat Pameran Antarabangsa Jakarta, Kemayoran hari ini.
Cheong Min terdahulu berada di landasan terbaik untuk mendapatkan pingat selepas berada di kedudukan kedua disiplin Nanquan semalam namun hari ini dia melakukan kesilapan ketika beraksi dalam rutin Nandao yang menyebabkannya tersingkir ke tempat keempat keseluruhan.
Kegagalan itu jelas begitu mengecewakannya, yang berharap untuk memenangi pingat pada hari lahir ke-20 hari ini.
“Tiada apa yang mengganggu saya sebelum masuk ke gelanggang, semuanya baik namun kesilapan yang tidak dijangka berlaku.
“Kesilapan itu memang tidak pernah berlaku kepada saya dalam kejohanan besar.
“Sedih namun saya tetap gembira kerana ini penampilan pertama dalam Sukan Asia,” katanya kepada wartawan kemudian.
Cheong Min menamatkan aksi dengan mengutip 19.15 mata manakala pingat emas menjadi milik Lu Tang dari China dengan 19.49 mata.
Pingat perak dimenangi Darya Latisheva dari Uzbekistan manakala pingat gangsa diraih Yuen Ka Ying dari Hong Kong. – UTUSAN











