MANCHESTER 14 Ogos – David Silva menyertai Andres Iniesta dan Gerrard Pique apabila membuat keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa selepas gagal membantu skuad La Roja melepasi pusingan 16 pasukan terakhir dalam Piala Dunia 2018.
Silva yang membantu Manchester City menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membuat pengumuman mengejut itu di akaun Twitter miliknya.
Sepanjang 12 tahun Silva beraksi bersama Sepanyol, pemain berusia 32 tahun itu pernah menjulang Piala Dunia pada 2010 serta dua kejohanan Eropah (Euro) pada 2008 dan 2012.
“Selepas apa yang saya alami, bukan mudah menulis surat tentang perkara ini. Saya mengambil masa selama beberapa minggu dengan melakukan analisis sebelum mengambil keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan Sepanyol.
“Tanpa ragu ini merupakan keputusan paling sukar untuk dibuat sepanjang karier saya. Skuad kebangsaan memberi saya segala-galanya malah membenarkan saya menjadi pemain lebih matang sejak hari pertama saya menyertai pasukan.
“Saya meninggalkan pasukan dengan maruah selepas membuat penampilan 125 dan menjaringkan 35 gol sepanjang 12 tahun selain menjuarai Piala Dunia dan dua Kejohanan Euro.
“Saya gembira dengan kejayaan, pengalaman dan impian bersama pasukan akan dikenang untuk selama-lamanya dan saya menamatkan era dengan penuh emosi seperti kenangan bersama pengurus, Luis Aragones yang menjadi guru kepada kami.
“Saya tidak boleh pergi tanpa mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih yang sentiasa menaruh kepercayaan kepada saya dan terima kasih kepada keluarga kerana sokongan mereka selama bertahun-tahun, tanpa mereka belum tentu saya boleh menjadi sebahagian daripada pasukan.
“Tidak ketinggalan, penyokong yang sentiasa memberi sokongan dan rasa hormat setiap kali saya menyarung jersi Sepanyol. Terima kasih, selamat maju jaya dan selamat tinggal,” katanya.
Aragones pernah membimbing Sepanyol untuk merangkul Kejohanan Euro pada 2008 dan dia meninggal dunia pada usia 75 tahun, empat tahun lalu.
Silva kini memberi fokus kepada tugasnya bersama City dengan misi jurulatih The Citizens, Pep Guardiola yang mahu mempertahankan kejuaraan EPL. – AGENSI











