NEW YORK 23 Ogos – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kehabisan dana untuk membiayai minyak yang diperlukan untuk hospital, loji air dan pelbagai kemudahan kritikal lain di Genting Gaza, kata ketua politik badan dunia itu, semalam.
Rosemary Di Carlo juga memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB bahawa peningkatan keganasan baharu antara pejuang Palestin dan tentera Israel mengancam menjerumus Gaza kepada perang.
Di Carlo berkata, beliau amat bimbang bahawa dana untuk minyak kecemasan PBB yang memenuhi keperluan kira-kira 250 kemudahan kritikal di Gaza kini sudah habis dan merayu dana sebanyak AS$4.5 juta (RM18.4 juta) bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi sehingga hujung tahun ini.
Tambahnya, beliau turut bimbang akan kekurangan bekalan ubat penting selepas 40 peratus simpanan ubat-ubatan sudah habis. – AFP











