JOHOR BAHRU 19 Ogos – Kerajaan diminta menggandakan usaha untuk menangkap, membawa pulang, menyoal siasat dan membicarakan ahli perniagaan yang dalam pelarian kerana dikaitan dengan skandar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana Jho Low atau nama sebenar beliau Low Taek Jho didakwa terlibat secara langsung dalam skandal berkenaan yang hingga ini masih belum terungkai.
“Pertama, ia akan menyebabkan rakyat tidak lagi dibelenggu misteri skandal 1MDB. Kebenaran dan keadilan dalam skandal ini mesti didedahkan agar semua pihak mengetahui perkara sebenar.
“Perkara ini seterusnya akan memberi kesudahan kepada skandal ini, sekali gus membolehkan kerajaan dan rakyat memberi fokus pula terhadap perkara lain yang lebih penting. Malaysia mempunyai pelbagai perkara lagi yang mesti kita lihat dan uruskan dengan baik, bukan sahaja skandal yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut bekas Menteri Besar Johor, semua pihak mahu supaya Jho Low dan semua yang terlibat dalam skandal itu dibawa ke muka pengadilan serta melalui proses yang sewajarnya secara telus dan teratur,” katanya. – UTUSAN ONLINE










