Sekiranya pekerja diberi pilihan, sudah pasti mereka tidak mahu menerima gaji yang ditetapkan sebagai paras minimum atau boleh dikatakan paling rendah itu. Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa pengenalan gaji minimum yang mula dibincangkan sewaktu pembentangan Bajet 2011 oleh kerajaan terdahulu merupakan satu kelegaan buat sesetengah pihak?
Hal ini demikian kerana, sebelum pelaksanaan upah minimum, Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mendedahkan bahawa kira-kira 48 peratus pekerja di Malaysia memperoleh kurang daripada RM1,000 sebulan pada 2010. Sejak sekian lama, Malaysia tidak mempunyai sebarang penanda aras khusus berkaitan penetapan kadar gaji minimum.
Purata gaji di antara RM800 sehingga RM900 pada lapan tahun lalu mungkin satu angka yang masih besar. Tetapi, dengan kos sara hidup yang terus meningkat, pengenalan gaji minimum adalah satu keperluan dan memberi banyak manfaat kepada pekerja terlibat seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.
Secara umum, pelaksanaan kadar gaji minimum juga meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kerana sebarang bayaran kerja lebih masa perlu disandarkan kepada nilai gaji pokok yang diterima pekerja.
Penetapan gaji minimum dari segi undang-undang perlu disemak setiap dua tahun dan manifesto Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan sebelum ini bahawa dalam tempoh lima tahun mereka akan meningkatkan jumlahnya kepada RM1,500. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini memberitahu pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan dibuat secara beransur-ansur bagi membolehkan pemulihan ekonomi negara.
Menurut bank pelaburan terkemuka Amerika Syarikat, JP Morgan dalam nota penyelidikan ekuiti Asia Pasifik, syarikat barangan dan perkhidmatan pengguna di negara ini dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan kadar gaji minimum secara berperingkat kepada RM1,500 sebulan.
Cadangan kenaikan gaji minimum adalah positif untuk kepenggunaan dalam jangka panjang. Jadi, adakah dengan kenaikan gaji minimum dapat meningkatkan kuasa membeli? Jawapannya adalah ya. Peningkatan kuasa beli akan mendorong kepada perbelanjaan pengguna yang seterusnya bakal merancakkan ekonomi domestik Malaysia.
Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini berserta janji peningkatan pendapatan yang masih kabur itu, adakah ia akan dapat meningkatkan atau mengurangkan kuasa membeli?
Semakin kurang bermaksud jika dahulu mereka mampu membeli lapan barang dengan wang berjumlah RM50, kini dengan peruntukan yang sama, hanya lima barang sahaja yang boleh dibeli.
Inilah antara faktor yang membebankan rakyat Malaysia. Tetapi dengan pelaksanaan GST berkadar sifar bermula sejak Jun lalu dan peningkatan gaji minimum, ia sedikit sebanyak akan memulihkan sentimen pengguna lantas kenaikan gaji yang diterima mereka sudah pasti akan menyumbang kepada kitaran ekonomi.
Perbelanjaan isi rumah dan lain-lain bakal meningkat seiring dengan pertambahan gaji mereka. Mungkin ada antara mereka akan dapat membeli sebuah kereta yang menjadi impian sejak bertahun-tahun lalu, dan mungkin ada antara mereka boleh menyewa bilik yang lebih selesa berbanding sebelum ini.
Tidak dilupakan, impak positif akan turut dirasai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Apabila kuasa membeli meningkat, produk tempatan yang dikeluarkan oleh para PKS seperti kerepek dan tudung akan mendapat sambutan. Selain itu, peningkatan gaji minimum juga dapat meningkatkan aktiviti ekonomi meliputi pelbagai sektor seperti peruncitan sekali gus meningkatkan hasil kutipan cukai.
Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, ia perlu seiring dengan pendapatan yang tinggi. Perlu diingatkan juga jika pada masa sama harga barangan terus meningkat dengan tinggi, wang yang ditambah seolah-olah tidak memberi makna. Oleh itu, pihak bertanggungjawab perlu memantau aktiviti peningkatan harga barangan supaya ia tidak melampaui batas.
Pelaksanaan kadar gaji minimum bukan sahaja memberi impak kepada para pekerja, malah ia turut membantu merancakkan pengambilan pekerja tempatan tetapi dalam masa yang sama masih ada ruang untuk mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pekerja tempatan dan asing. Gaji minimum memang diberi kepada semua pekerja termasuk pekerja asing. Tetapi kos pekerja asing masih lebih murah bagi majikan kerana mereka tidak perlu membayar kos perlindungan sosial seperti pekerja tempatan.
Perintah Gaji Minimum 2012 mula berkuat kuasa pada Januari 2013 yang menetapkan nilai RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Buat masa ini, gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM1,000 sebulan berbanding RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sama ada gaji minimum mampu mencecah RM1,500 sebulan seperti yang diinginkan oleh orang ramai, kita tunggu dan lihat.











