KUALA LUMPUR 21 Ogos –Agenda kebajikan penduduk setempat menjadi keutamaan kepada calon MCA, Tan Chee Teong bagi merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Chee Teong yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Bangi berkata, berbanding isu politik, beliau lebih gemar memperjuangkan masalah setempat malah berharap dapat menyelesaikannya jika diberi `peluang’ untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Lepas perubahan kerajaan, kita jangan berpolitik sangat, sudah sampai masanya selesaikan masalah masyarakat juga, ketepikan parti politik (selepas sesuatu pilihan raya) kerana itu semua sejarah.
“Saya tidak ingin mengulas lanjut mengenai politik kerana saya lebih fokus untuk mengatasi masalah penduduk di sini, kalau anda tanya saya sama ada parti saya baik atau parti yang lain baik, saya tidak berminat. Kalau cadangan itu baik saya sokong, kalau tidak, saya pasti membangkitkannya,” katanya dalam sidang akhbar mengenai masalah banjir di Sungai Chua, dekat sini, hari ini.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandang¬nya, Ng Tien Chee akibat kemala¬ngan jalan raya di Lebuh Raya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lalu.
Chee Teong, 40 bakal bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki, 32, dalam PRK DUN Balakong kali ini. – UTUSAN ONLINE











