INDUSTRI filem Malaysia menghasilkan sekitar 59 buah filem pada 2017 tetapi jualan tiket hanya 4.5 juta!
Perangkaan itu yang diperolehi dari laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah jauh lebih rendah berbanding 7.16 juta jualan tiket pada 2016 sedangkan jumlah filem yang dihasilkan pula 47 buah.
Mungkin angka ini bukan sesuatu yang memeranjatkan memandangkan industri filem Malaysia sering kali terpaksa bersaing sengit dengan filem keluaran luar negara terutama dari Hollywood
![]() |
|
KU SEMAN KU HUSSAIN
|
Menurut bekas wartawan hiburan yang tidak asing lagi, Ku Seman Ku Husain, dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan, semua filem dihasilkan oleh generasi muda yang pada pandangannya terpisah daripada corak pemikiran dan pembuatan generasi pembikin filem 80-an dan 90-an.
“Kemunculan generasi muda yang mendapat didikan secara formal dan semiformal di institusi pengajian tinggi dalam bidang pembikinan filem mengubah bentuk dan corak filem arahan mereka.
“Mereka itu terpisah langsung daripada kerangka nostalgia dan pemikiran filem Melayu di Jalan Ampas Singapura. Bagi saya filem mereka belum layak lagi diindustrikan. Tidak mencapai tahan industri. Hanya sebagai satu kegiatan berkarya.
“Kutipan tiket pada keseluruhannya amat kecil berbanding pelaburan. Tidak sampai 10 peratus daripada jumlah filem yang diterbitkan dalam setahun mencatatkan keuntungan dan 50 peratus dari kutipan kasar terpaksa dikongsi dengan pihak pawagam, ” jelas Ku Seman.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, bukan suatu yang tepat untuk menjadikan kutipan sebagai satu tanda aras kualiti sesebuah filem.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, ada banyak faktor yang boleh dikenal pasti untuk melonjakkan pencapaian filem tempatan, sebagai contoh menonjolkan elemen popular iaitu aliran cerita serta pelakon yang selari dengan fenomena generasi muda.
Bagaimanapun, kata beliau, untuk menjadikan sesebuah filem itu sebagai cermin atau wadah sosial, ia menuntut keterlibatan pemikiran pembikinnya.
“Filem bukan sahaja membawa cerita tetapi peranan sebenar ialah mencetuskan wacana sosial daripada paparannya. Inilah yang agak kurang dalam sebahagian besar filem tempatan.
“Banyak pembikin muda terpukau dengan teknik atau sokongan teknologi tetapi kurang memberikan penegasan pada aspek isi kandungan. Teknik dan teknologi memang penting tetapi tidak boleh menjadikan sebuah filem yang baik kalau aspek isi kandungan terabai,” tegasnya.
Ku Seman menambah, seperkara yang masih tidak muncul dalam perfileman tempatan ialah sifat Malaysianya.
Bagi beliau, sebahagian besar malah hampir semuanya filem yang diarahkan oleh pengarah Melayu berkisar mengenai kaum Melayu, bukan Malaysia.
“Saya tidak melihat kewujudan “Malaysia” dalam filem Melayu. Sikap mengasingkan diri dari realiti sosial seperti ini juga menjejaskan peranan filem sebagai cerminan realiti sosial.
“Bayangkan dalam jumlah penduduk yang hampir separuh terdiri daripada pelbagai kaum selain Melayu, filem Melayu masih terperangkap dalam sifat etnocentric Melayu yang tidak realistik. Filem Melayu hanya ditonton oleh Melayu, itu pun dalam kadar peratusan yang sangat kecil. Bukan Melayu hampir tidak menonton.
“Mereka (bukan Melayu) ada alasan untuk tidak menonton, misalnya filem itu tidak mencerminkan Malaysia. Malah tidak juga menyingkap sosiobudaya Melayu yang sebenarnya. Filem-filem ini hanya sebuah fantasi sosial yang disalin dari Hollywood atau Hong Kong, ” katanya.
Menurut Ku Seman lagi, secara umumnya, penonton tempatan menggemari filem yang membawa persoalan ringan serta kaya dengan elemen-elemen popular.
Popular dari segi jalan cerita daPn juga pelakon-pelakon. Kerana itu filem-filem yang mendapat ruang pada festival antarabangsa hampir semuanya gagal di pawagam tempatan.
Banyak juga filem tempatan yang mencatat nama pada festival antarabangsa tetapi tidak dikenali berbanding filem-filem berkonsep popular, kelangsungan dari fenonema drama bersiri di televisyen.
Antara faktor yang menyumbang pada keadaan demikian ialah tahap apresiasi filem sebagai sebuah karya pemikiran amat rendah di negara ini. Keadaan ini sama dengan genre seni lain misalnya novel. Filem-filem Hollywood yang membawa isu besar juga tidak mendapat sambutan.
“Bagi saya ini suatu yang membimbangkan. Sebagai industri, pembuat filem akan mengikut selera penonton. Jadi, semakin kecillah peluang bagi filem-filem bermutu untuk dihasilkan dalam keadaan selera penonton menjurus pada popular,” katanya. – BERNAMA












