PUTRAJAYA 17 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melancarkan program Jimat Belanja Aidiladha Ambang Merdeka sempena sambutan perayaan tersebut di 733 pasar tani di seluruh negara bermula hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, program tersebut yang berlangsung selama lima hari bertujuan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan keperluan Hari Raya Aidiladha pada harga menjimatkan.
“Antara barang yang ditawarkan adalah daging, ayam, sayur, barang runcit, produk industri asas tani (IAT) tempatan dan produk-produk keperluan hari raya seperti daun palas, buluh lemang dan lain-lain.
“Menerusi program ini pengguna akan dapat menikmati penjimatan antara lima hingga 20 peratus berbanding harga di pasar awam bagi pembelian barangan terpilih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan barangan yang dijual di pasar-pasar tani tersebut mencukupi sempena sambutan hari raya tersebut. -UTUSAN ONLINE











