JAKARTA 21 Ogos – Atlet wusyu negara,Phoon Eyin gagal menghadiahkan pingat buat kem Malaysia dalam Sukan Asia 2018 selepas menamatkan aksi gabungan Jianshu & Qiangshu wanita di tempat keempat.
Dalam aksi di Pusat Pameran Antarabangsa Jakarta di Kemayoran menyaksikan Eyin menamatkan aksi dengan jumlah mata.
Kata Eyin, biarpun sekadar meraih tempat keempat namun dia tetap gembira dengan pencapaian tersebut.
“Pada 2014, saya meraih tempat kelima dan ini satu kemajuan buat saya. Hari ini semuanya berjalan dengan baik malah saya amat berpuas hati dalam persembahan tadi kerana melakukannya dengan sempurna.
“Apa pun keputusan saya tetap terima semuanya dengan baik,” kata Eyin.
Eyin adalah antara atlet yang dijadikan sandaran oleh kem wusyu negara dalam Sukan Asia kali ini.
Pingat emas acara tersebut menjadi milik Guo Mengjiao dari China dengan jumlah 19.49 mata manakala pingat perak dimenangi Zahra Kiani dari Iran dengan 19.41 mata.
Gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Duong Thuy Vi dengan 19.40 mata. – UTUSAN ONLINE











