LONDON 2 Ogos – Persatuan Bola Sepak (FA) England mempertimbang untuk meletakkan England sebagai tuan rumah yang berpotensi pada Piala Dunia 2030, kata badan induk tersebut yang berhasrat mengemukakan permohonan itu, sekali gus berkemungkinan menjadi satu-satunya tawaran dari Eropah.
England yang terkenal dengan Liga Perdana Inggeris, hanya memenangi satu gelaran Piala Dunia dengan pernah menjadi tuan rumah sekali pada 1966, namun tewas dalam bidaan pada kejohanan tahun 2006 serta 2018.
“Bulan lalu Ahli Lembaga FA England bersetuju untuk meletakkan mereka di depan selaku calon dari EUFA yang berpotensi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030.
“Kami akan memulakan langkah seterusnya apabila musim baharu bermula dan buat masa ini tiada keputusan rasmi dibuat sehingga 2019,” kata Pengerusi FA England Greg Clarke dalam satu kenyataan.
England tersingkir di peringkat pertama dalam undian Piala Dunia 2018 namun persatuan tersebut enggan mengalah dengan berhasrat membuat bidaan sekali lagi.
Penyertaan Piala Dunia akan bertambah dari 32 kepada 48 pasukan pada 2026, di mana 80 perlawanan pertandingan tersebut akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi bayangan bahawa mereka percaya kejohanan berprestij tersebut akan sukar dikendalikan oleh satu negara.- AFP










