PENYERANG skuad hoki wanita negara, Norazlin Sumantri enggan mensia-siakan ‘nyawa kedua’ untuk menghidupkan semula karier di pentas antarabangsa selepas tersenarai ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula esok hingga 2 September ini.
Norazlin, 25, kembali tersenarai dalam barisan 18 terbaik sejak namanya digugurkan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan pada Mei lalu.
Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia sebulan sebelum itu merupakan penampilan terakhir Norazlin pada kejohanan antarabangsa.
“Saya geram dan tak sabar untuk bermain semula supaya dapat menunjukkan kepada jurulatih. Saya mahu cuba yang terbaik dengan memberikan prestasi sehabis baik dalam setiap perlawanan pada Sukan Asia 2018.
“Kalau boleh saya nak menang semua perlawanan agar dapat layak ke separuh akhir dahulu dan kemudian barulah cuba mendapatkan sekurang-kurangnya pingat gangsa,” kata Norazlin yang sudah tiba bersama rakan-rakan sepasukan di Jakarta semalam.
Sejak digugurkan, penyerang Pasukan Hoki Wanita Terengganu itu dikatakan melipatgandakan usaha dalam sesi latihan termasuk sesi analisis video agar lebih memahami taktikal dimahukan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Norazlin mendapat peluang keemasan membuktikan dirinya masih relevan buat Malaysian Tigress selepas Dhaarma menyenaraikan namanya menyertai enam siri aksi persahabatan di Brisbane, Australia bulan lalu.
Malah, Dhaarma turut mengakui peningkatan prestasi dan corak permainan Norazlin sekali gus memberikan beliau lebih banyak pilihan dalam proses penggiliran pemain pada saingan di Padang Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta nanti.
Malaysian Tigress, No. 22 dunia, akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Hong Kong (19 Ogos) diikuti pasukan No. 11 dunia, China (23 Ogos), Taiwan (25 Ogos) sebelum berdepan lawan di ranking ke-14 dunia, Jepun pada 27 Ogos ini.











