BUKIT MERTAJAM – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita warga Indonesia kerana memiliki pistol angin dan gari dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Permai Jaya 5, Taman Permai Jaya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah itu pada pukul 2 petang dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita berusia 23 hingga 46 tahun.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui satu senjata menyerupai pistol angin dan satu kelopak berisi 17 butiran kecil bebola plastik serta sepasang gari dan sehelai uniform menyerupai pakaian seragam tentera berlencana Amerika Syarikat.
“Polis tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan pistol angin dan gari itu untuk kegunaan jenayah namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dua daripada mereka positif dadah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan. – Bernama











