PULAU PINANG 24 Ogos – Sahabat Alam Malaysia (SAM) berharap Kerajaan Pusat tidak akan mempertimbangkan semula keputusan membatalkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sambil menyambut baik pembatalan projek itu, Presidennya, S. M. Mohamed Idris turut berharap keputusan tersebut bukan diambil semata-mata kerana faktor tekanan kewangan negara.
Sebaliknya, tambah beliau, keputusan itu juga perlu melihat kepada kesan projek mega berkenaan terhadap kelestarian alam sekitar yang terancam dan berdepan kemusnahan.
“Seharusnya setiap perancangan pembangunan khususnya yang melibatkan pengubahan guna tanah oleh Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri perlu merujuk dan mengambil kira serta selari dan tidak bercanggah dengan semua dasar, pelan perancangan fizikal, ketetapan dan garis panduan berkaitan alam sekitar sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











