KLANG – Dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk seorang wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat mesin pencetak berjumlah RM93,685, tahun lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Roslizi Sulaiman terhadap pegawai wanita berusia 39 tahun dan lelaki, 38, masing-masing berpangkat Leftenan Komander dan Bentara Kanan.
Turut direman pemilik syarikat berusia 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam penjualan dakwat terbabit.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, kesemuanya direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat mesin pencetak berjumlah RM93,685 kepada Pusat Hidrografi Nasional TLDM di Pulau Indah dekat sini.
“Meskipun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit telah dikeluarkan syarikat berkenaan namun peralatan yang disenaraikan itu tidak dibekalkan mereka.
“Antara peralatan dakwat yang disenaraikan iaitu Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A bernilai RM57,400,” katanya di sini hari ini.
Kesemua suspek disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, sumber memberitahu ketiga-tiga mereka dan seorang pengurus syarikat ditahan di pejabat suruhanjaya itu di Klang semalam.
Bagaimanapun katanya, pengurus syarikat terlibat dilepaskan dengan notis serta jamin untuk hadir di SPRM Klang bagi merakamkan percakapan.
Pegawai wanita itu kini bertugas sebagai Penolong Setiausaha (Laut) Bahagian Pengurusan Sempadan Majlis Keselamatan Negara manakala pegawai lelaki berkenaan masih bertugas di pusat berkenaan dekat sini. – K! ONLINE











