IPOH – Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM67,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Klebang Mutiara di sini semalam.
Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di rumah salah seorang suspek pada pukul 3.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun yang sedang berada di dalam rumah berkenaan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan, polis merampas dadah jenis heroin seberat 1.3 kilogram dan syabu dengan anggaran berat 130 gram di dalam sebuah bilik.
“Polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah tersebut di dalam paket kecil.
“Berdasarkan pemeriksaan, kedua-dua suspek yang tidak bekerja telah menjalankan kegiatan sindiket membungkus dadah di rumah tersebut sejak dua bulan yang lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPK di sini hari ini.
Menurut Ravi Chandran, kedua-dua jenis dadah itu dipercayai diedarkan di sekitar bandar raya ini dan kiraan mendapati ia boleh dibekalkan kepada 63,000 penagih dalam tempoh empat bulan.
Ujarnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkitan kes dadah jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berusia 29 tahun positif dadah jenis ganja.
“Selain itu, polis turut menyita dua buah kereta, sebuah lori dan beberapa barang kemas yang dianggarkan bernilai RM69,350,” katanya.
Tambah Ravi Chandran, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











