KUALA TERENGGANU – Dua lelaki ditahan reman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan seorang pegawai kanan Maritim Malaysia (APMM).
Perintah reman ke atas lelaki berusia 55 tahun yang juga merupakan seorang pengusaha bot itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab. Karim@Isa di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Perintah reman ke atas seorang lagi individu berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada pegawai kanan APMM itu pula dikeluarkan oleh Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman.
Sumber SPRM berkata, kedua-dua lelaki disyaki terlibat sebagai orang tengah bagi pihak pegawai kanan APMM itu disyaki membuat kutipan wang rasuah daripada tauke bot nelayan asing dengan memasukkannya ke dalam beberapa akaun berasingan.
Kedua-dua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang pegawai kanan APMM berpangkat Leftenan Komander ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Suspek yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah di sebuah kapal APMM itu dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke bot sebagai balasan untuk melepaskan bot-bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu. – K! ONLINE











