KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima rasuah berupa tiket penerbangan serta penginapan hotel bagi percutian ke Eropah.
Suspek berusia 50 tahun yang pernah bertugas di Pejabat Mara daerah di Selangor itu ditahan di Ibu pejabat SPRM pada pukul 3.00 petang tadi selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima tajaan dari beberapa syarikat untuk dirinya iaitu tiket kapal terbang dan penginapan hotel bagi percutian selama 10 hari ke London dan Paris antara Mac hingga April 2014.
Ujarnya, suapan tersebut ialah bagi menyokong proses permohonan pembiayaan yang dahulunya dikenali sebagai Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Mara.
“Suspek dikatakan telah menyokong permohonan terbabit meskipun dikatakan mengandungi butiran palsu sebelum diserahkan kepada Pengarah Mara Selangor.
“Susulan itu, SPRM turut menahan seorang lagi individu berusia 44 tahun yang bertindak sebagai orang tengah antara permohon pembiayaan dan pegawai Mara itu pada pukul di 2.45 petang di Ibu pejabat SPRM,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuala Lumpur esok bagi pendakwaan mengikut Seksyen 17 (a), Seksyen 18 dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009.
“Selain itu, mereka juga akan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










