Dua beregu kita ke suku akhir - Utusan Malaysia

Dua beregu kita ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 25 Ogos – Kekal fokus dan tidak terburu-buru ketika melakukan serangan menjadi formula kejayaan beregu badminton lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menundukkan pasangan No.3 dunia dari Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura untuk menempah slot ke suku akhir Sukan Asia 2018 di Istora hari ini.

Ong YEW SIN-TEO EE YI mara ke suku akhir selepas mencipta kejutan ke atas Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 21-14, 21-17 di Stadium Badminton Istora Senayan, Jakarta semalam. UTUSAN

Dalam perlawanan pusingan 16 akhir tersebut, pasangan bukan pilihan Yew Sin-Ee Yi dilihat lebih selesa beraksi berbanding lawan mereka yang menjadi tumpuan utama penonton dan mereka hanya memerlukan 38 minit untuk meraih kemenangan 21-14, 21-17.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yew Sin berkata mereka telah memanfaatkan setiap peluang dengan sebaiknya serta berjaya menyekat lawan daripada melakukan serangan.

“Kami bermain dengan bagus dan berjaya mengawal permainan dari awal lagi dan strategi yang kami gunakan ternyata memudahkan kami untuk mendapatkan mata.

“Kami turun tanpa sebarang tekanan, malah tekanan itu lebih kepada mereka kerana mereka adalah pasangan pilihan.

“Sebab itu kami boleh bermain seperti biasa dan berjaya mengekalkan rentak positif hingga tamat perlawanan,” katanya.

Kemaraan Yew Sin-Ee Yi ke suku akhir diringi beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang berjaya menewaskan lawan dari Nepal, Bikash Shrestha-Nabin Shrestha 21-9, 21-12 hari ini.

Dalam pada itu, harapan untuk menyaksikan Lee Zii Jia meneruskan cabaran negara dalam acara perseorangan berakhir selepas dia tewas kepada jaguh Korea Selatan, Son Wan-ho 21-11, 21-17. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×