Dua beradik ditemui rentung dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Dua beradik ditemui rentung dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI AMAN – Dua kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Hilir Lingga di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 4.23 petang itu mengakibatkan dua beradik iaitu Zulkarnain Ajizul, 5, dan Zulfadli Ajizul, 2, dijumpai rentung.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad mengesahkan mengenai insiden tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dan BBP Betong telah diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.25 petang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal di situ.

“Pasukan bomba kemudian dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak terperangkap di dalam kediaman berkenaan semasa kejadian itu sebelum kebakaran terkawal pada pukul 6.10 petang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Nor Hisham menambah, operasi mengeluarkan mangsa kemudian dilakukan sebelum menyerahkan mayat kedua mangsa kepada pihak polis pada pukul 6.20 petang.

“Buat masa ini, pasukan bomba masih menyiasat punca kebakaran tersebut,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN