Dr. Nur Ilyani ambil cuti - Utusan Malaysia

Dr. Nur Ilyani ambil cuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Ogos – Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi, pegawai perubatan yang menulis surat terbuka kepada anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak datang bertugas hari ini.

Berdasarkan papan kenyataan pegawai yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, Dr. Nur Ilyani mengambil cuti selama empat hari bermula hari ini.

Sebab-sebab beliau mengambil cuti tidak dinyatakan di situ namun difahamkan, ibu kepada dua cahaya mata itu mengambil cuti peribadi kerana perlu menguruskan anak-anaknya yang masih kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun terdapat desas-desus mengatakan Dr. Nur Ilyani bercuti sementara menunggu isu berkaitan surat berkenaan reda terlebih dahulu.

Utusan Malaysia cuba menghubungi beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.

Semalam, Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Siti Zailah Mohd. Yusof mendedahkan ada pihak mengadu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) berhubung tindakan Dr. Nur Ilyani menulis surat terbuka kepada Marina.

Menurut Siti Zailah, kumpulan terbabit juga dikatakan turut menggesa agar beliau dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan iaitu Kementerian Kesihatan.

Susulan pendedahan tersebut, sebuah petisyen solidariti khusus untuk Dr. Nur Ilyani diwujudkan semalam dan setakat pukul 3 petang ini, seramai 54,758 individu telah menandatangani petisyen berkenaan.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datin Dr Selasawati Ghazali pula mengambil pendekatan mengunci mulut dan enggan menjawab sebarang soalan berkaitan isu itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN