PUTRAJAYA 11 Ogos – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua murid Sekolah Kebangsaan Balok, Kuantan yang lemas semalam.
![]() |
|
Dr. Maszlee
|
Katanya, beliau mendoakan agar roh kedua-dua mangsa iaitu Allahyarham Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah dan Allahyarham Muhammad Hafizul Iman dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Di samping itu saya berharap mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi serta Lokman Hakim Suhamizan berada dalam keadaan stabil dan menjalani rawatan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa ditemukan lemas semalam selepas mandi bersama dua rakan mereka di muara Sungai Balok di Kuantan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, Muhammad Amirul Mukminin, 11, ditemukan orang awam terdampar di pesisir pantai sejam kemudian manakala adiknya, Muhammad Hafizul Iman, 10, ditemukan oleh pasukan penyelamat pada pukul 8.20 malam. – UTUSAN ONLINE












