KUALA LUMPUR 23 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui tidak mudah untuk membatalkan projek mega dibiayai negara China yang telah ditandatangani persetujuannya.
Dr. Mahathir dalam wawancara dengan Malaysiakini berkata, apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, ia belum dapat ditentukan lagi.
“Hal-hal butiran dan perincian tidak pernah dibincangkan oleh perdana menteri atau presiden. Kebanyakan kerja ini perlu dibuat oleh pegawai,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, apa yang beliau nyatakan adalah keutamaan Malaysia untuk membatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).
Menurut Dr. Mahathir lagi, jika projek-projek tersebut tidak dapat dibatalkan, ia mungkin ditangguhkan sehingga masalah kewangan diselesaikan dan sementara itu rundingan masih terbuka.
Dalam wawancara itu beliau turut menjelaskan Malaysia tidak berhasrat untuk bermusuh dengan China dan yakin negara berkenaan memahami situasi sulit di hadapi kini adalah kerana kekangan kewangan yang tulen.
Dalam pada itu ura-ura membatalkan projek ECRL khusus menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat dan pemimpin politik.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat pembatalan projek itu seolah-olah satu hukuman kepada rakyat di negeri-negeri Pantai Timur khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana mereka tidak memilih Kerajaan Pakatan Harapan.
Sedangkan, katanya, keperluan untuk satu infrastruktur pengangkutan awam darat yang pantas dan moden bagi menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung adalah penting untuk menjadi pemangkin pertumbuhan yang memungkinkan kesan gandaan ekonomi (economic multiplier effect) dan kemasukan pelaburan domestik dan asing.
Ia secara tidak langsung, ujar beliau, dapat merancakkan ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
“Kerajaan Barisan Nasional dahulunya melancarkan Projek ECRL bernilai RM55 billion (kini RM66.7 billion) sebagai satu inisiatif berimpak tinggi di dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11).
“Projek rel 2 fasa sepanjang 688km ini akan menyambungkan Pelabuhan Klang dan Pengkalan Kubor, Kelantan dijangka siap pada 2024 akan dapat menambah 1.5 peratus kepada nilai KDNK negara dan dijangka mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Tidak semuanya legasi kepimpinan terdahulu harus dihapuskan hanya kerana dendam politik sehingga memangsakan rakyat Pantai Timur yang berhak menikmati kesaksamaan pembangunan ekonomi dan tidak hanya berpusat di sebelah Pantai Barat, katanya.
Justeru Pemuda UMNO, katanya, menyeru Kerajaan PH agar mengenepikan ego politik untuk kembali ke meja rundingan dengan Kerajaan China bagi mencari solusi terbaik agar projek ECRL ini dapat diteruskan.
“Sebarang terma yang didakwa tidak menguntungkan boleh sahaja dirundingkan kembali agar rakyat tidak dimangsakan dengan pembatalan projek yang sudahpun bermula,” tegas beliau.
Pemuda UMNO, katanya, tidak mahu generasi mendatang terpaksa mewarisi beban pembayaran pampasan yang tinggi akibat pembatalan projek yang sudah bermula dek kerana keegoan pimpinan hari ini menghapuskan legasi infra-rakyat yang dicetuskan kepimpinan terdahulu. – UTUSAN ONLINE











