HATI siapa yang tidak terusik apabila bentuk fizikal menjadi bahan jenaka malah adakalanya ejekan seumpama itu menyebabkan seseorang berjauh hati.
Situasi yang serupa pernah dilalui penyanyi popular, Azharina Azhar apabila dikecam dan dikritik hanya kerana memiliki berat badan yang berlebihan.
Stigma masyarakat yang sering menganggap selebriti bertubuh gempal sukar bertahan lama dalam dunia hiburan, bagaimana pun menyuntik semangat Azharina untuk membuktikan bahawa saiz badan bukan faktor yang ‘menutup’ rezeki seseorang.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi itu, secara jujurnya dia tidak menganggap memiliki badan yang gempal memberikan masalah kepada dirinya malah cukup selesa dengan keadaan itu.
“Orang selalu cakap artis tak boleh berbadan gemuk nanti tak laku! Itu satu kenyataan yang tidak betul sama sekali malah saya tidak mahu perkara seperti ini menjadi pengukur kepada kejayaan kerjaya seni seseorang.
“Mungkin saya bukan seorang yang mudah berkecil hati dengan kata-kata yang sengaja mahu menjatuhkan air muka orang lain, namun saya mahu pemikiran seperti itu diubah dalam masyarakat kita.
“Malah saya menjadikan model antarabangsa, Tyra Banks sebagai inspirasi kerana dia juga pernah mengalami peningkatan berat badan yang mendadak, namun berjaya mengubah persepsi negatif kepada positif,” tegasnya.
Tidak terdesak untuk menurunkan berat badan, penyanyi berusia 33 tahun itu juga bersyukur kerana tidak terpengaruh dengan pengambilan pil kurus dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat semata-mata untuk langsing.
“Dalam minda kebanyakan orang, nak jadi artis mesti kena cantik dan bertubuh langsing. Kalau gemuk dan tak lawa, tiada peminat yang akan sokong.
“Perkara-perkara begini yang menghantui orang kita walhal langsung tak betul!
“Inilah antara punca terjadinya anak seni mengambil dadah sebab nak kurus dengan cepat, sekali gus mengecap tangga populariti dengan pantas,” katanya lagi.
Demi anak syurga
TANGGUNGJAWAB sebagai ibu kepada anak bongsunya, Redha Azhar Azharin antara faktor berat badan asalnya daripada 60 kilogram (kg) mendadak naik sebanyak 10 kg disebabkan pengambilan pil hormon bagi menghasilkan susu badan.
Jelas Azharina, sepanjang tujuh bulan berehat, dia banyak menumpukan perhatian kepada Redha.
Meskipun hanya anak angkat, namun kasih dan sayang yang dicurahkan oleh Azharina terhadap anaknya itu bukan kepalang dan sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.
“Saya jaga Redha sejak dia (masih) dalam perut ibunya lagi. Saya beri ibu dia tempat tinggal dan bawa pergi rawatan susulan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik.
“Sebelum Redha lahir saya memang sudah pasang niat mahu menyusukan dia dengan air susu saya. Sebab itu atas nasihat doktor pakar saya ambil pil hormon untuk menghasilkan susu badan.
“Ramai yang tak faham mengapa berat badan saya naik. Mereka hanya tahu mengecam dan terus kecam tanpa ketahui bagaimana mencabarnya nak menyusukan anak.
“Alhamdulillah, Redha sudah berusia 10 bulan dan sudah tidak perlu menyusu badan.
“Saya pun sudah dua bulan berhenti mengambil pil hormon dan tindakan itu dilakukan atas saranan doktor juga,” kata Azharina yang sering merujuk kepada pakar sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penjagaan anak angkatnya itu.
Selain Redha, Azharina mempunyai seorang lagi anak angkat, Rahmat Azharin Aziz yang kini mencecah usia empat tahun.
“Anak angkat kedua saya Rizqie meninggal dunia ketika usianya 23 hari pada Mac tahun lalu. Mereka semua adalah syurga saya. Bila saya meninggal dunia nanti, anak-anak inilah yang akan menguruskan jenazah saya sehingga ke liang lahad.
“Saya tidak terfikir lagi nak tambah anak angkat kerana mereka berdua sudah melengkapi hidup saya. Ada juga yang tanya tidakkah saya terfikir untuk ambil anak angkat perempuan pula, tetapi saya tolak dengan cara baik,” ujar Azharina lagi.
Dalam perkembangan lain, penyanyi yang muncul dengan single baharu berjudul Cinta Terbahagi Dua bakal menjayakan persembahan pada malam pertandingan Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2018 (SNPS 2018) yang akan berlangsung pada 22 September bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor.
Selaku anak seni, dia berasa terpanggil untuk menyokong penganjuran lagu-lagu berunsur patriotik memandangkan kurangnya pendedahan dan pertandingan terhadap genre sebegitu sebelum ini.
“Pertandingan sebegini bagus diadakan kerana boleh menaikkan semangat cintakan negara lebih-lebih lagi ini bulan kemerdekaan dan pada September kita akan menyambut Hari Malaysia.
“Saya percaya generasi muda kurang didedahkan dengan lagu-lagu begini dan sebagai penyanyi saya mahu menyertai acara begini dan berharap diteruskan setiap tahun.
“Media sosial sudah semakin menguasai teknologi serba moden. Kalau boleh gunakan medium tersebut untuk memainkan lagu kemerdekaan lebih bagus supaya khalayak dapat mesej itu dengan pantas,” katanya berkongsi pandangan.











