SITIAWAN – Seorang pemilik kebun terkejut apabila menemui mayat dalam keadaan rentung di kawasan ladang kelapa sawit miliknya di Kampung Baru, Sitiawan dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mayat dengan kesan terbakar hampir pada seluruh badan itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat itu baru dibakar berdasarkan bahang pada badan.
“Siasatan awal unit forensik juga mendapati mangsa telah dibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya dibakar di ladang tersebut berdasarkan kepada penemuan sehelai tuala penuh dengan darah dan berulat di tempat kejadian.
“Keadaan mayat yang rentung antara 85 hingga 90 peratus menyukarkan pihak polis mengenal pasti jantina serta identitinya.
“Setakat ini jantina dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti memandangkan keadaan mayat yang rentung antara 85 hingga 90 peratus,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











