KUALA LUMPUR 30 Ogos – Penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni, 28, dikurniakan cahaya mata kedua seberat 2.85 kilogram hasil perkahwinannya dengan seorang wanita berasal dari Indonesia, Ayunda Putri, 26, lewat petang tadi.
Menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Haziq berkongsi sekeping foto memperlihatkan dia mendukung bayi perempuan yang dilahirkan secara caesar pada pukul 5.34 petang tadi.
Menurut kapsyen yang diserta bersama foto tersebut, Haziq memberitahu bahawa bayi dan isterinya kini berada dalam keadaan sihat walafiat.
Pasangan tersebut yang sama-sama menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mendirikan rumah tangga pada 15 Julai 2016 selepas setahun mengikat tali pertunangan.
Pada 8 April tahun lalu, mereka telah pun dikurniakan anak lelaki pertama bernama Nufael Heidy yang sudah berusia setahun. – UTUSAN ONLINE











